Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Friday, June 24, 2011

::114::

Keesokan harinya, ummi terasa pelik ketika terjaga. Ummi sedar ummi berada di bilik Hadi. Masih ada setengah jam sebelum Subuh. Ummi bangun dan tunaikan solat sunat dua rakaat sementara berkesempatan. Kemudian, membaca al-Quran sehingga azan Subuh berkumandang. Ummi solat Subuh sendirian. Sebentar lagi Hadi akan bangun.

Sebaik sahaja Hadi bangun, kami kemaskan bilik bersama-sama. Ketika membuka pintu bilik, kedengaran bunyi bising dari arah dapur. Itulah kepelikan permulaan hari setiap kali bab mahu back-up kesalahannya. Kali ini, bukan salah tapi pembetulan sikap yang tidak diingini.

Ummi biarkan Hadi menapak ke dapur. Ummi pula melangkah ke bilik utama, mencari telefon bimbit. Ummi lihat telefon ummi dan kad temujanji doktor tersusun elok di meja solek. Pastilah baba yang menyelongkar barang-barang ummi dan meletakkannya di situ. Ummi perhatikan keadaan bilik lalu mendapati ianya terlalu kemas. Jika bilik sudah kemas begini, ummi pasti seluruh rumah sudah baba selenggarakan termasuk hal-hal pakaian. Ummi juga pasti baba tidak tidur semalaman akibat soalan bertubi-tubi malam tadi.

Mendengar suara Hadi memanggil ummi, ummi menapak ke meja makan. Tentunya baba menyuruh Hadi mencari ummi. Tentunya juga sarapan sudah tersedia. Seperti yang dijangka, menu sarapan siap terhidang. Baba pula tercegat di hujung meja dengan uniform pejabat beserta apron. Petanda ummi akan goyang kaki sepanjang hari.

Hadi menarik kerusi untuk duduk. Tangannaya sudah mula mahu mencapai makanan. Anak ummi ni... belum sempat baca do'a lagi tu!

"Hadi..." ummi panggil Hadi sambil menghadiahkan renungan tajam ke arahya. Hadi terkebil-kebil membalas pandangan ummi, tidak mengerti. Tangannya juga terhenti bergerak.

"Sebelum makan kena buat apa?" tanya ummi. Hadi menadah tangan mahu berdoa. Ummi geleng kepala. Ummi pamerkan gigi.

Ummi mahu ketawa melihat reaksi Hadi tapi terpaksa ditahan. Hadi akan berada dengan ummi sepanjang hari, jadi ummi perlu bertegas dengannya seawal hari bermula. Baba cepat-cepat bawa Hadi ke sinki. Gosok gigi, basuh muka dan tangan. Jika ikut rutin, Hadi perlu mandi dahulu. Biarlah untuk hari ini. Ummi menikmati sarapan sendirian manakala Hadi sudah masuk geng dengan baba. Baba memang, sejak anak ummi adalah paling kemudian.

Ummi tertanya-tanya topik perbualan Hadi dan baba. Mereka berbisik-bisik. Sesekali Hadi terangguk-angguk mengiyakan sesuatu. Sesekali Hadi ketawa gelihati. Mahu bertanya tetapi ummi masih belum mahu menghentikan perang dingin. Degil ummi ni, jarang benar mahu beralah.

"Ummi, baba ajak balik kampung," ummi dapat menangkap perbuatan baba menepuk dahi. Pasti lain yang disuruh kata, lain yang keluar. Ummi simpan senyum dalam hati.

"Bukan.. bukan! Baba tanya, ummi nak balik kampung tak?" tanya Hadi semula, ulang tayang. Sekali lagi baba tepuk dahi sambil tersengih.

"Baba Hadi dah tak ada mulut ya tak boleh cakap sendiri?" ummi soal balik, memerli. Hadi ulang kata-kata ummi dengan kuat di telinga baba. Ketawa yang ummi tahan meletus jua. Aduhai Hadi, bab ini kelebihan Huda. Hadi memang tak mahir, asyik kantoi sahaja. Baba juga ikut ketawa. Seketika, sepi mengisi ruang.

"Hadi nak lagi?" Baru kedengaran suara baba. Hadi menggeleng tanda sudah kenyang.

"Hadi pandai kan, mandi sendiri?" Hadi mengangguk. "Baba nak Hadi pergi mandi. Dah kenyang, kena wangi-wangi pula," baba memberi arahan.

Ummi kerling jam di dinding. Eh, baba ni selamba sahaja berlengah-lengah di rumah...

Sedang ummi asyik bermonolog sendiri, baba mendekati ummi. Baba tidak menegur ummi sebaliknya berbual dengan adik Hadi. Selepas itu barulah baba tegur ummi.

"Ummi jangan sedih-sedih lagi. Nanti adik pun sedih," ungkap baba memulakan bicara.

"Baba, bukan baba dah lambat ke?" terpacul soalan itu dari mulut ummi.

"Baba tak masuk pejabat hari ni. Baba ada mesyuarat di luar."

"Oh.. eh, Hadi.. Bilik air yang dia guna tu ada tong simpanan air!" ummi panik seraya bangun tergesa-gesa.

"Ummi, tenang. Biar baba pergi tengok." Baba menahan dan dudukkan ummi semula. Ala... baba pun tak tenang juga. Dua tiga langkah meninggalkan ummi, baba sudah berlari.

Kerisauan bertamu di dada ummi. Hadi pantang lepa, tong air besar akan dimasukinya. Ummi bukan kisah dia mahu main tetapi keselamatannya juga perlu diambil kira. Ummi tidak bersedia untuk kehilangan kali kedua berturut. Ummi perlu ruang untuk bernafas. Baba pun belum pulih sejak Huda pergi. Ummi hanya menarik nafas lega bila mendengar keriuhan suara Hadi bertingkah dengan baba.

Sambil bertuala, Hadi berlari ke arah ummi.
"Ummi, Hadi berenang!" lapornya.

Aduh! Habis lagi air satu tong untuk kecemasan. Notis ketiadaan air sudah pun diedarkan oleh pihak berkuasa. Ummi perlu menakungnya semula. Ummi tidak tahu bagaimana mahu respon pada Hadi. Mahu ketawa dan marah sama banyak.

"Ummi tak payahlah takung air lagi, bahaya untuk Hadi," kata baba sambil membetulkan kaki seluarnya. Sudah tentu kaki seluar baba dilipat untuk menangani Hadi sebentar tadi.

"Ummi bukan takung saja-saja. Notis gangguan bekalan air dah dikeluarkan minggu lepas," ummi menjelaskan situasi.

Baba seru Hadi untuk dipakaikan baju. Ummi sekadar memerhati.

"Macam mana ni... Hmmm... Ummi takung separuh sahajalah. Ataupun nanti kunci pintu bilik tu. Hadi... Hadi..." keluh baba sambil sikatkan rambut Hadi pula.

"Ummi nanti hari nak pergi klinik, ingatkan baba ya. Takut baba lupa. Biar baba bawa. Hujung minggu ni kita pergi shopping. Hujung minggu depan kita balik kampung, boleh?"

Beginilah setiap kali baba mahu menyelesaikan sesuatu. Dia akan merancang dengan perinciannya sekali.

"Baik," sengaja ummi panjangkan harakat huruf vowel sebelum menyambung, "Hadi macam mana?"

"Nantilah fikir semula. Baba pergi dulu," jawab baba sambil minta diri. Tangannya tetap dihulur untuk bersalam dengan ummi.

Ada juga perincian rancangan baba tertinggal. Ummi tersenyum.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home