Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Saturday, September 12, 2009

::103::

Perkara balik kampong menunaikan hak terhadap orangtua adalah biasa. Yalah, siapalah kita tanpa mereka. Namun kali ini ada perkara baru. Perkara yang menyebabkan ummi jadikan modal untuk menge’boo’ baba. “1-0,” kata ummi pada baba. Malang bagi ummi kerana dilihat ibu. Apalagi, ada sesi nasihat lah.

Walaupun bukan cuti umum, namun seluruh keluarga ummi berkumpul. Kakak dan abang long juga ada. Kebiasaannya kakak dan abang long jarang berlama-lama di rumah ayah dan ibu. Ummi dan baba juga. Nanti kedua-dua kami dihalau ibu supaya mengutamakan mentua. Kali ini kami berempat tiba menjelang maghrib, jadi ibu tidak alasan untuk menggesa.

Rutin keluarga ummi waktu Maghrib mesti berjemaah. Makan malam mesti sebelum Maghrib kerana selepas itu kami akan bersama hingga selesai waktu ‘Isyak. Usai ma’thurat bersama, abang long ajak tadabbur al-Quran. Kata abang long, halaqah keluarga. Dimensi baru untuk ummi dan baba. Ummi lihat ayah tersenyum. Sebelum ini adik-beradik ummi semuanya liat mahu mengadakan sesi sebegitu walaupun diluar masing-masing juara.

Abang long bawakan surah al-Kahfi bahagian Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir. Menarik bahagian ini kerana Nabi Musa ‘alaihissalam berjanji akan sabar tidak akan mempersoalkan tindakan gurunya walaupun Nabi Khidir ‘alaihissalam sudah katakan Nabi Musa tidak akan dapat bertahan. Selepas tiga peristiwa, Nabi Musa berpisah dengan Nabi Khidir kerana terbukti Nabi Musa ‘alaihissalam kurang sabar. Logiknya, kita pun tidak akan dapat bersabar bilamana melihat orang rosakkan perahu dan bunuh anak kecil tetapi tolong bina benteng juga. Sebelum mereka berpisah, Nabi Khidir menerangkan satu persatu akan tindakannya.

Adik-beradik ummi semuanya terpesona dengan gaya penyampaian abang long. Sedar-sedar abang long sudah bertanya apa yang dapat diaplikasikan dari kisah tersebut. Adik-adik ummi yang serba tahu masing-masing berebut mahu menjawab. Ada yang menghuraikan adab belajar. Ada yang bercerita tentang kelebihan Nabi Khidir yang Allah anugerahkan. Pendek kata, semua mahu menyuarakan pandangan masing-masing. Ummi dan kakak gelihati menyaksikan gelagat mereka. Kami bersembang berdua tidak mempedulikan mereka.

Tiba-tiba semua diam. Rupanya abang long mendesak baba berkongsi pendapatnya pula. Berdehem-dehem baba sebagai isyarat mahu mengelak. Buruk perangai betul. Ummi tersengih dari jauh, mengalu-alukan kata-kata yang bakal terlontar dari kerongkongnya. Bukan senang mahu dengar pandangan bernasnya di khalayak keluarga begini. Nama pun halaqah keluarga, semua pun perlu bercakap termasuk ibu dan ayah.

Banyak baba katakan, tetapi ummi cuma mahu berkongsi hal nabi Khidir membunuh anak kecil. Baba lontarkan persoalan orang-orang buruk perangai, yang mana jika ibubapanya tahu anaknya akan ingkar hari ini tentu waktu kecil lagi ibubapanya mahu anaknya mati. Kecil-kecil tak mahu mampus, dah besar menyusahkan orang. Entah mulut adik ummi yang mana mengatakan ini. Dan abang long tujukan semula frasa ini kepada si pengata. Mulutnya memang jarang dapat dikawal. Terdiam dia manakala yang lain menahan tawa.

Tanpa ummi duga, baba punya perasaan mendalam terhadap ayat itu. Boleh dikatakan penenang untuknya akan situasi yang kami berdua hadapi. Baba bawakan keadaan orang yang berusaha mendapatkan anak lalu dianugerahkan seorang tetapi apabila dewasa, anak itu melawan cakap orang tuanya walaupun telah dididik dengan sebaik-baik cara. Tentu orang itu berharap dia tidak punya anak langsung. Baba nasihatkan semua untuk berusaha sedaya upaya jadi anak soleh yang boleh membantu ayah dan ibu bukan sahaja di dunia tetapi di alam barzakh serta akhirat. Adik-adik nakal ummi semuanya tertunduk. Ada yang terus memeluk ibu dan ayah.

Walaupun hanya itu yang baba katakan, ummi merasakan ianya mesej untuk ummi juga. Mesej supaya bersyukur dengan keadaan kami, kerana kami tidak tahu apakah rupa anak kami jika terlalu mengharapkan. Baik rupa fizikal mahupun akhlaknya. Sendu menghiasi di sudut hati ummi. Secara spontan, ummi sujud syukur. Akhirnya ummi dapat juga memahami apa yang baba fikirkan mengenai kami berdua. Padanlah baba sentiasa waspada akan halatuju kami.

Kakak pula memberitahu, ia seakan mesej untuknya juga. Jawapan kepada sikap abang long yang tidak gembira berlebih-lebihan seperti orang lain tatkala dimaklumkan kakak disahkan berbadan dua. Juga jawapan kepada tindakannya meminta kakak lebih serius dan berhati-hati melakukan sesuatu. Baik perasaan, pertuturan mahupun perlakuan. Menitis air mata bakal ibu itu.

Ah, dua lelaki asing yang masuk keluarga ummi ini benar-benar mempunyai keistimewaan tersendiri. Dahsyat benar tapisan ayah jika begini pilihannya untuk ummi dan kakak. Sambil ummi bermonolog, ayah dan ibu pula menggulung sesi halaqah keluarga.

Kejutan tidak berakhir disitu. Abang Long sekali lagi memaksa baba menyertai tindakannya. Kali ini dia bernasyid pula. Aduhai…Habis semua nasyid mengenai isteri didendangkannya. Ditujukan khusus untuk wanita bergelar isteri sahaja. Padahal dia sedang berbual dengan baba. Sudahnya semua bertumpu pada mereka berdua. Ayah pun tidak ketinggalan menunjukkan bakat menyertai mereka.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home