Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Friday, December 24, 2010

::109::

Rabu.

Ummi dan baba dikehendaki hadir ke satu rapat tertutup bersama seorang mursyid. Mursyid istimewa yang didatangkan khas untuk kami. Hadi dan huda tentulah dibawa bersama memandangkan kami tiada pembantu. Keadaan Huda sajalah sedikit membimbangkan kerana demam. Hadi pula aktifnya menjadi-jadi.

Kebimbangan ummi dirasai baba. Baba tetap bertegas bahawa kami tetap akan hadir sekeluarga ke rapat tersebut. Bukan selalu rapat bersama mursyid ini diadakan. Lantas ummi persiapkan keperluan anak-anak berdua itu. Awal-awal lagi ummi menarik diri dari memegang Huda. Ummi lebih sanggup berlari mengejar Hadi dari mendengar rengekan Huda.

Segala-galanya tarbiyyah. Itulah fokus utama penyampaian mursyid di hadapan kami. Ummi khusyuk mendengar sementara Hadi asyik dengan permainannya. Sengaja ummi bawa beberapa permainan baharu untuk Hadi. Cukuplah untuk membiusnya dari bergerak ke sana sini. Huda pula memaksa baba mendengar sambil berdiri disebabkan rengekan ketidakselesaannya. Hanya apabila Huda lelap baba duduk. Itupun masih perlu dipangku dan dan ditepuk.

Mursyid di hadapan masih bercakap mengenai keutamaan tarbiyyah dan dakwah dalam kehidupan. Ummi tertunduk sendiri mengenangkan keculasan sendiri akhir-akhir ini. Harta dan wang ringgit tidak menjadi masalah. Bagaimanapun sejak kehadiran dua permata hati itu, hati ummi jadi berat sedikit. Baba pula seperti tidak peduli apa yang ummi lakukan. Entah baba cuba tunjuk dia memahami alasan ummi atau baba juga sudah hilang keseriusan pada tarbiyyah.

Padahal syukur itu dengan amal. Tiada amal yang sebanding mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan. Ternyata banyak jiwa terkorban gara-gara keterlekaan ummi (dan baba juga, mungkin). Bagaimana mahu jagaan Allah sedang ummi mengabaikanNya? Subhanallah, Allah sayangkan ummi dan baba lalu menggerakkan hati kami untuk hadir malam itu. Padahal, jika mahu memberi alasan, boleh saja menggunakan keadaan kesihatan Huda.

Bukan tidak tahu bahawa jika tidak mahu atau banyak alasan, Allah akan pilih orang lain bahkan itulah prinsip kami berdua. Tetapi mungkin kerana kehadiran cahayamata berdua itu terlalu dinanti lalu ditatang bagai minyak yang penuh. Mengingati kisah Nabi Ayyub menginsafkan ummi. Nabi Ayyub seorang nabi yang banyak harta dan banyak anak. Namun baginda sentiasa bersyukur. Lalu syaitan cuba untuk menimbulkan kekufuran Nabi Ayyub dengan berbagai cara dari menghilangkan harta kekayaan, kematiaan anak-anak, isterinya lari hingga Nabi Ayyub jatuh sakit. Begitu pun, Nabi Ayyub tetap beriman kepada Allah.

Perkataab mursyid ini terus menyentak hati ummi. Katanya; kamu berada pada dakwah kamu, Allah berada di rumah kamu. Lagi katanya; kamu berada pada dakwah kamu, Allah berada pada waktu kamu. Katanya lagi; kamu berada pada dakwah kamu, Allah ada pada kesihatan kamu. Dan ini, kata sang mursyid, barakah. Dan ummi inginkan keberkatan ini.

"Ummi perlukan pembantu?" soal baba tiba-tiba. Ketika itu kami dalam perjalanan pulang.

"Kenapa?" ummi soal baba semula, kerana hairan.

"Kita seolah-olah terlupa dengan obsesi dakwah kita sejak ada Hadi dan Huda. Mungkin ummi perlu pembantu?"

"Ummi rasa bukan pembantu yang kita perlukan. Tetapi keinginan. Kita sama-sama suburkan semula keinginan kita, ya. Lepas tu baru kita pertimbangkan soal pembantu. Ummi kan surirumah sepenuh masa."

Kami sepakat tentang itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home