Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Tuesday, December 29, 2009

::106::

Menerima kunjungan rakan-rakan lama. Lebih kepada gathering rakan-rakan ummi dan baba. Setiap tahun pasti kami berkumpul. Sepatutnya tahun lepas rumah kami. Kerana keadaan ummi ketika itu, maka tempat pertemuan ditukar dengan janji tahun berikutnya di rumah kami. Selalunya perempuan yang kena sediakan makanan. Bila giliran rumah kami, ummi minta kaum lelaki yang masak. Muktamad.

”Ibu-ibu mahu bergosip, ya?” suka-suka baba sahaja menuduh.

“Bukan, beri peluang ibu-ibu berehat.” ummi mematikan hujjah.

Bukannya baba tidak tahu kepenatan ummi saban hari. Waktu tengok ummi kepenatan, tahu kesian. Tapi, bila ada masa boleh ambil alih tugas para isteri mahu mengelat pula. Baba ni tak patut sungguh. Tambahan pula anak kecil kami bukan seorang tapi dua. Lagipun kawan-kawan baba tu suka merungut orang perempuan ni memasak lambat. Kali ini tengok kemahiran memasak orang lelaki pula.

Rakan-rakan ummi, yang belum berumahtangga juga dijemput. Tak tahulah rakan-rakan baba bagaimana. Dan dalam masa yang singkat ini juga mahu ambil tahu perkembangan masing-masing. Ummi tabik dengan rakan-rakan ummi yang terus tabah hidup bersendirian. Tabik juga pada rakan-rakan yang mendapat jodoh dari kalangan lelaki baik tetapi bukan dari kalangan ikhwah masih bergerak aktif.

Perasaan ummi sedikit sebak mendengar bicara mereka. Tunggu punya tunggu, tak ada juga ikhwah yang datang sedang yang bukan bersilih ganti. Setelah pertimbangan dibuat barulah mereka berlapang dada menerima jodoh mereka. Yang masih belum bertemu jodoh meluahkan perasaan mereka. Ah! Kalaulah ummi di tempat mereka, mampukah ummi setabah mereka? Ummi sebut lagi pada baba hal ini buat sekian kalinya. Mereka memang tabah kerana masih berlapang dada dengan ketentuan Allah begini.

Di samping pertemuan tahunan, rakan-rakan kami mahu berkenalan dengan si kecil berdua itu. Pakcik makcik semuanya orang sibuk tidak berkesempatan untuk ziarah sebelum ini. Lagipun aqiqah mereka terus dilakukan di kampung pada hari ketujuh bersama acara ’belah mulut’, cukur rambut dan menamakan. Yang sekumpulan diskusi mingguan pun jumpa setiap kali diskusi. Ada juga mereka mahu datang di hujung minggu tetapi jadual kami pula tidak mengizinkan.

Lewat petang sebelum berpisah, baba menggamit ummi. Rupanya ada antara rakan baba yang masih sendiri bertanyakan rakan ummi yang juga sendiri. Terus ummi tanya empunya diri. Nampaknya tak lama kami bakal menerima jemputan kenduri. Itu baru sepasang. Bagaimana dengan baki akhawat bujang ni, baba? Baba cuma mendiamkan diri.

Kemudian baba buka cerita seorang rakannya yang dulu juara menilai akhawat bila tetamu semuanya beredar. Sudah berkahwin tetapi tidak membawa isterinya bersama. Baru ummi sedar ada rakan baba yang datang solo. Sedap sahaja ikhwah buat adegan ketawa beramai-ramai pada yang seorang ini. Kata baba, semua komen-komen tidak puas hati yang pernah dilontarkan pada akhawat ada pada isteri rakannya. Dan ketawa itu sudah disimpan sekian lama. Ummi lalu ikut ketawa kerana baba juga ketawa.

Baba sambung lagi, yang diketawakan itu juga terpukul dengan tindakan rakan yang masih bujang bertanyakan rakan ummi yang pernah dikomplen begitu teruk suatu masa dahulu. Manakan tidak, rakan ummi tersebut sudah jauh lebih baik dan istiqamah pula. Ummi tanya waktu bila peristiwa tersebut. Baba menyebut dan ummi teringatkan waktu itu. Memanglah, ketika itu rakan ummi masih baru. Masih banyak yang belum dihadam.

Lantas baba menyimpulkan bahawa tidak perlu menilai orang lain. Tak pasal-pasal bersangka-sangka sesama manusia. Sangkaan buruk pula tu. Baba sebut juga, tindakan ikhwah bujang tersebut sebenarnya selari dengan apa yang pernah mereka dengar suatu masa dahulu, “Pandanglah akhawat yang berada bersama-sama antum di sini. Bilangan mereka pun melebihi antum tetapi antum masih memandang perempuan di luar sana? Mereka sudah siap ditarbiah tetapi antum memilih yang tiada tarbiah?”

Baba cerita juga dia tidak ketinggalan dikutuk kerana beristerikan ummi yang datang dari keluarga tarbiah. Tapi segera yang mengenali ayah ummi menepis mengatakan sekurang-kurangnya bukan baba dipinang sebaliknya baba meminang. Bukankah tugas ketua keluarga menjaga ahli keluarganya dari azab api neraka? Itulah lontaran yang buat semua ikhwah terdiam. Soalan maut untuk semua lelaki yang memahami.

1 Comments:

Blogger ummu said...

Salam ummi,saya terharu.
saya sudah melepasi zaman bujang...
benar jangan menilai orang dan bersangka buruk...

10:58 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home