Thursday, January 14, 2010

::107::

Bacaan al-Quran sentiasa berkumandang di ruang tamu. Ummi berbuat begitu sebagai pendedahan awal bunyi Huda dan Hadi di peringkat awal. Jika bukan al-Quran, ummi pasangkan nasyid-nasyid lama koleksi baba. Mana baba dapat pun ummi tidak periksa tetapi itulah juga nasyid yang ummi dibesarkan bersama.

Sejak dari tempoh berpantang lagi sudah ummi mulakan rutin ini. Sebagai langkah berjaga-jaga sebenarnya. Bagi sesiapa yang biasa membaca dan mendengar al-Quran, dia tidak akan memerlukan hiburan lain. Di sana terdapat khabar gembira dan peringatan yang sangat banyak. Dalam tempoh nifas, tentulah terhalang dari melakukan ibadah. Maka ummi sedaya upaya memaksimumkan zikir yang mengingatkan ummi pada Allah.

Ingatan pada Allah amat penting. Bukan sedikit ibu-ibu yang mengalami gangguan emosi ketika tempoh pemulihan hingga sanggup mencekik anak yang baru dilahirkan. Itulah antara perkara yang ummi risaukan. Tambahan pula, semasa tempoh berpantang ummi berjauhan dengan baba. Bukan sedikit bisikan-bisikan negatif mengesyaki baba yang bekerja menunaikan tanggungjawabnya tapi baba sentiasa mengingatkan ummi agar berbaik sangka. Syukur, fasa itu ummi lalui dengan jaya.

Bacaan al-Quran bukan hanya untuk ummi malah untuk Huda dan Hadi juga. Semasa di dalam kandungan lagi sudah ummi dan baba biasakan membacakan mereka al-Quran. Bila sudah melihat dunia, rutin itu masih mahu diteruskan. Tambahan pula anak-anak kecil yang belum dapat berkata-kata dan berfikir akan menyerap apa sahaja yang mereka dengar dan lihat tanpa tapisan. Dan praktikalnya akan dapat dilihat bila mereka semakin dewasa. Ibu bapa lah yang perlu menjadi tapisan untuk anak-anak.

Ummi sedaya upaya menjarakkan mereka dari televisyen, komputer dan juga laptop tidak ketinggalan telefon bimbit. Gelombang yang terhasil membahayakan otak anak-anak kecil. Inilah alasan paling kukuh mengapa ummi jarang mengemaskinikan catatan. Alasan yang baba juga tidak dapat sangkal. Yang mampu buat baba bertindak cepat menjarakkan dua permata hatinya jika didapati berada berdekatan.

Yang lebih bahaya dari gelombang tersebut ialah siaran-siaran radio dan televisyen serta internet. Sementara ummi dan baba masih dapat mengawal mereka, itulah yang akan kami lakukan. Kaedah seterusnya akan dilaksanakan seiring dengan perkembangan mereka nanti. Yang pasti, melentur buluh biar dari rebungnya!

Mengawasi pendengaran dan penglihatan dari awal ini bukan sekadar teori tetapi ummi lah praktikalnya. Rumah ayah diawasi begitu ketat sehingga jiwa ummi tidak serasi langsung dengan muzik-muzik kegemaran generasi sezaman ummi yang bertentangan dengan didikan ayah dan ibu.

Tuesday, December 29, 2009

::106::

Menerima kunjungan rakan-rakan lama. Lebih kepada gathering rakan-rakan ummi dan baba. Setiap tahun pasti kami berkumpul. Sepatutnya tahun lepas rumah kami. Kerana keadaan ummi ketika itu, maka tempat pertemuan ditukar dengan janji tahun berikutnya di rumah kami. Selalunya perempuan yang kena sediakan makanan. Bila giliran rumah kami, ummi minta kaum lelaki yang masak. Muktamad.

”Ibu-ibu mahu bergosip, ya?” suka-suka baba sahaja menuduh.

“Bukan, beri peluang ibu-ibu berehat.” ummi mematikan hujjah.

Bukannya baba tidak tahu kepenatan ummi saban hari. Waktu tengok ummi kepenatan, tahu kesian. Tapi, bila ada masa boleh ambil alih tugas para isteri mahu mengelat pula. Baba ni tak patut sungguh. Tambahan pula anak kecil kami bukan seorang tapi dua. Lagipun kawan-kawan baba tu suka merungut orang perempuan ni memasak lambat. Kali ini tengok kemahiran memasak orang lelaki pula.

Rakan-rakan ummi, yang belum berumahtangga juga dijemput. Tak tahulah rakan-rakan baba bagaimana. Dan dalam masa yang singkat ini juga mahu ambil tahu perkembangan masing-masing. Ummi tabik dengan rakan-rakan ummi yang terus tabah hidup bersendirian. Tabik juga pada rakan-rakan yang mendapat jodoh dari kalangan lelaki baik tetapi bukan dari kalangan ikhwah masih bergerak aktif.

Perasaan ummi sedikit sebak mendengar bicara mereka. Tunggu punya tunggu, tak ada juga ikhwah yang datang sedang yang bukan bersilih ganti. Setelah pertimbangan dibuat barulah mereka berlapang dada menerima jodoh mereka. Yang masih belum bertemu jodoh meluahkan perasaan mereka. Ah! Kalaulah ummi di tempat mereka, mampukah ummi setabah mereka? Ummi sebut lagi pada baba hal ini buat sekian kalinya. Mereka memang tabah kerana masih berlapang dada dengan ketentuan Allah begini.

Di samping pertemuan tahunan, rakan-rakan kami mahu berkenalan dengan si kecil berdua itu. Pakcik makcik semuanya orang sibuk tidak berkesempatan untuk ziarah sebelum ini. Lagipun aqiqah mereka terus dilakukan di kampung pada hari ketujuh bersama acara ’belah mulut’, cukur rambut dan menamakan. Yang sekumpulan diskusi mingguan pun jumpa setiap kali diskusi. Ada juga mereka mahu datang di hujung minggu tetapi jadual kami pula tidak mengizinkan.

Lewat petang sebelum berpisah, baba menggamit ummi. Rupanya ada antara rakan baba yang masih sendiri bertanyakan rakan ummi yang juga sendiri. Terus ummi tanya empunya diri. Nampaknya tak lama kami bakal menerima jemputan kenduri. Itu baru sepasang. Bagaimana dengan baki akhawat bujang ni, baba? Baba cuma mendiamkan diri.

Kemudian baba buka cerita seorang rakannya yang dulu juara menilai akhawat bila tetamu semuanya beredar. Sudah berkahwin tetapi tidak membawa isterinya bersama. Baru ummi sedar ada rakan baba yang datang solo. Sedap sahaja ikhwah buat adegan ketawa beramai-ramai pada yang seorang ini. Kata baba, semua komen-komen tidak puas hati yang pernah dilontarkan pada akhawat ada pada isteri rakannya. Dan ketawa itu sudah disimpan sekian lama. Ummi lalu ikut ketawa kerana baba juga ketawa.

Baba sambung lagi, yang diketawakan itu juga terpukul dengan tindakan rakan yang masih bujang bertanyakan rakan ummi yang pernah dikomplen begitu teruk suatu masa dahulu. Manakan tidak, rakan ummi tersebut sudah jauh lebih baik dan istiqamah pula. Ummi tanya waktu bila peristiwa tersebut. Baba menyebut dan ummi teringatkan waktu itu. Memanglah, ketika itu rakan ummi masih baru. Masih banyak yang belum dihadam.

Lantas baba menyimpulkan bahawa tidak perlu menilai orang lain. Tak pasal-pasal bersangka-sangka sesama manusia. Sangkaan buruk pula tu. Baba sebut juga, tindakan ikhwah bujang tersebut sebenarnya selari dengan apa yang pernah mereka dengar suatu masa dahulu, “Pandanglah akhawat yang berada bersama-sama antum di sini. Bilangan mereka pun melebihi antum tetapi antum masih memandang perempuan di luar sana? Mereka sudah siap ditarbiah tetapi antum memilih yang tiada tarbiah?”

Baba cerita juga dia tidak ketinggalan dikutuk kerana beristerikan ummi yang datang dari keluarga tarbiah. Tapi segera yang mengenali ayah ummi menepis mengatakan sekurang-kurangnya bukan baba dipinang sebaliknya baba meminang. Bukankah tugas ketua keluarga menjaga ahli keluarganya dari azab api neraka? Itulah lontaran yang buat semua ikhwah terdiam. Soalan maut untuk semua lelaki yang memahami.

Thursday, November 12, 2009

::105::

Kehadiran dua permata hati mengambil banyak masa ummi. Kadang-kadang baba suarakan juga akan ketiadaan entri baru. Kata baba, ummi sekadar duduk di rumah memerhati perkembangan dua amanah sahaja takkan tidak ada masa langsung untuk menulis? Baba juga cadangkan agar ummi menulis perkembangan anak-anak kami. Tapi, ummi benar-benar kesuntukan masa untuk melakukannya terutama jika salah seorang kurang sihat dan menuntut perhatian. Kecil-kecil lagi dah pandai anak-anak ummi ni.

Oh, ya! Anak-anak kami sepasang. Nama diberi Huda dan Hadi. Sudah tiga bulan usia mereka melihat dunia. Kewujudan mereka di rahim ummi disedari bila ummi sering tidak sihat. Juga ketika hati ummi dan baba sudah kebal dengan kutukan, umpatan dan kejian orang. Malah ummi menolak kehadiran mereka pada permulaan kerana amat selesa dengan rutin berdua dengan baba. Ditambah kesihatan ummi merudum hingga berulang kali ditahan di hospital semasa membawa mereka. Kerana itu juga baba mengarahkan ummi meletakkan jawatan.

Ummi sudah berhenti kerja tetapi mengapa blog tetap sunyi? Jawapannya ummi tidak mampu mengadap komputer berlama-lama. Ummi hanya mampu buat aktiviti yang tidak memerlukan ummi bergerak cergas selain mengadap komputer. Selalunya ummi membaca dan menjahit. Jika ada kain yang perlu dilipat, itulah antara kerja ummi. Ummi cuma berani bergerak aktif ketika berteman selepas beberapa kali pitam dan berlaku pendarahan. Syukur tidak sampai tahap diarahkan duduk di katil sahaja seperti seorang teman.

Ketika ummi menaip entri ini, Huda dan Hadi dua-dua sedang di alam ’lain’. Dalam kata lain, sedang tidur. Hari ini sememangnya ummi berencana mahu mengemaskinikan blog. Hampir dua bulan ummi memerhati rutin kedua mereka di rumah kami. Sebelumnya ummi berpantang di rumah ibu dan mama; bergantung kepada kelapangan mereka. Bila baba lihat ummi sudah dapat bergerak di dalam rumah, terus dimohonnya pada mama dan ibu untuk bawa ummi pulang ke rumah kami. Namun permohonannya ditolak hingga selepas 40 hari. Ibu tidaklah tegas sangat. Tapi mama benar-benar menggunakan kuasa vetonya ke atas baba. Ummi masih terkenangkan wajah baba tatkala mama menolak mentah-mentah permintaan baba.

Hadirnya mereka seharusnya menjadikan ummi dan baba hamba yang bersyukur. Mudah-mudahan harta dan anak-anak tidak akan menjadi penghalang kedua kami untuk terus menggerakkan dakwah. Sebaliknya, semoga mereka menjadi penguat ummi dan baba di kala semangat kami merudum. Mereka diharap akan mendokong dakwah yang telah dimulai generasi jadd mereka.