Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Tuesday, August 03, 2010

::108::

Sesekali bertemu keluarga kakak (abang Long dan Nuh), ummi dan baba akan mendapat pelajaran baru. Kakak hingga kini cuma seorang anaknya. Nuh itulah putera, Nuh jugalah puteri. Ada juga kami mengusik abang Long dengan mengatakan mereka merancang, abang sekadar menjawab ianya perancangan Allah.

Bicara abang Long penuh berhikmah dan berhemah. Kakak yang ummi kenal cukup culas (ummi pun!) itupun sudah berubah seratus lapan puluh darjah. Ummi kira, ibu tentunya kerap sujud syukur melihat kakak yang baru. Tidak dinafikan, perubahan drastik status kakak dari cik kepada puan seterusnya bergelar ibu buat Nuh turut menyumbang pada perubahan itu (ini pernah kami bincang dengan ibu). Tetapi faktor abang Long adalah lebih dominan.

Nuh sudah memasuki pra-sekolah, namun belum ada tanda-tanda dia akan mendapat adik. Cerita kakak, bila dia lihat kawannya ada abang atau kakak, Nuh mahukan abang dan kakak. Bila lihat rakan ada adik, Nuh ajak kakak beli adik di pasaraya. Nuh, Nuh...

Sedap-sedap mengata kakak dan abang Long, Nuh pula beri soalan cepu emas; 'Dalam perut mak Ngah tak ada baby ke?' Terdiam ummi dan baba manakala kakak dan abang Long menghamburkan tawa. Boleh tanya soalan power ni tentu genetik abang Long. Memikirkan Nuh ini anak kecil, baba dan ummi layankan sahaja dengan memberi jawapan; 'Nuh doakankanlah supaya perut ibu dan mak Ngah ada baby.' Selepas itu Nuh ralit dengan permainannya.

Abang Long berbicara tentang perancangan keluarga. Ikut salasilah keluarga, keluarga abang jarang punya bilangan anak ramai. Abang Long sendiri dua beradik sahaja. Jauh pula tu jarak usia. Keluarga abang Long tidak mengamalkan perancangan keluarga. Dan abang Long tidak bersetuju dengan pandangan perancangan keluarga.

Abang Long bentangkan ayat al-Quran di mana Allah sebut bahawa Dia-lah yang memilih rahim mana yang mampu menghasilkan keturunan manusia. Tidak semua rahim wanita mampu menjalankan fungsi ini. Selepas memilih rahim, Allah jua menentukan jantina janin sama ada lelaki atau pun perempuan.

Sebaik ruh dititupkan, sudah tercatat tiga perkara buat manusia generasi baru ini. Ajalnya, rezekinya, bahagia atau celaka hidupnya. Dan janin-janin yang terhasil ini Allah saring lagi. Ada yang sempat melihat dunia, ada yang tidak. Jadi, mengapa ada keraguan pada hati manusia hingga mereka mahu merancang bilangan ahli keluarga?

Macam dalam diskusi mingguan pula perasaannya. Seolah-seolah sedang bincang hadis kejadian manusia dari kitab Himpunan Ilmu dan Hikmah Ibnu Rejab. Ummi sempat mengusik abang Long dengan pertanyaan berapa ramai yang pernah terpesona dengan penyampaiannya sebelum laju tangan baba mencubit ummi tanda tidak suka. Merah padam muka abang Long dengan soalan ummi. Kakak sekadar ketawa kerana dia maklum dengan sikap ummi.

Kami berempat maklum dengan kesukaan Rasulullah akan ramainya umat baginda. Yang ini, jika bukan ayah, ibu akan mengulang-ulang setiap kali berkumpul serta penegasan perlunya menjadi muslim yang berkualiti, bukan buih-buih di lautan. Biar gharib tapi berprinsip dengan prinsip Islam. Malah, bom biologi ini begitu berguna buat umat Palestin. Walaupun setiap hari ramai yang syahid dan ditahan, bilangan mereka tidak pernah menunjukkan penyusutan. Dan ini membimbangkan pihak musuh.

Berada dengan kakak dan abang Long selalunya menampakkan sisi lain kehidupan dan menambah kefahaman. Buat ummi lebih berkeyakinan melangkah sebagai wanita tanpa anak.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home