Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Thursday, May 12, 2011

::113::

Ummi nekad mengejutkan bab dari situasi kesedihan. Ummi mulakan dengan menggamit Hadi memberikan ma'thurat kepada baba selepas usai solat maghrib berjemaah. Baba kelihatan termangu-mangu sebelum bergurau dengan Hadi. Baba ambil naskhah ma'thurat dan meriba Hadi. Kami membaca ma'thurat bersama.

Sebaik selesai do'a rabithah, Hadi berlari ke rak. Hadi meletakkan ma'thurat dan mencapai al-Quran lalu berlari semula ke arah baba. Rupanya Hadi juga hilang tempo aktiviti seharian, bukan sejak dari kematian Huda tetapi semasa Huda mula sakit. Bila ummi mulakan Hadi sudah dapat teruskan sendiri.

Masih ingatkah Hadi surah-surah hafalannya? Ummi juga lalai rupa-rupanya. Hafalan Hadi... antara Hadi dan Huda, Hadi ketinggalan. Bila Huda tiada, Hadi dipinggirkan? Ummi sebak mengenangkannya.

Tatkala baba mula bertilawah, ummi sujud syukur. Ketika ummi bangkit, ummi dapati Hadi juga sujud. Bila Hadi bangkit, ummi tanyakan apa yang dilakukan. "Sujud syukur macam ummi," jawabnya. Terus ummi rangkul Hadi. Hadi ingat! Hadi ingat!

Ummi peluk Hadi sampai dia naik rimas. Hadi terkekeh-kekeh ketawa bila ummi cium pipinya berkali-kali. Hadi tidak lari. Seolah-olah faham ummi sedang menghargainya. Baba pun naik hairan menyaksikannya. "Selalunya cepat sahaja dia cari perlindungan," komen baba. Ya, Hadi akan bersembunyi di mana-mana ceruk setiap kali dipeluk dan dicium.

"Bila adik nak keluar?" terpacul soalan dari mulut mugil itu sambil tangannya menyentuh perut ummi. Sejak pergerakan janin boleh dirasa, ummi selalu letakkan tangan kecil Hadi pada perut. Setiap hari Hadi belajar tentang penciptaan manusia secara tidak langsung.

"Hadi mahu adik lelaki ke perempuan?" soal ummi

"Perempuan. Boleh ganti Huda, kan? Huda dah tak ada," jawabnya, petah.

"Huda pergi mana?" soalan yang ummi sengajakan.

"Huda dah mati. Hadi tengok baba letak dia dalam kubur," Hadi masih mampu menceritakannya.

"Allah sayang Huda, kan ummi? Jad cakap, Huda mati sebab nak jumpa Allah. Hadi kena tunggu lahir. Nanti kesian dia, tak ada kawan," Hadi diam seketika sebelum meneruskan celotehnya.

"Nanti, nama adik Hada, kan? Macam Huda panggil," Hadi mendongakkan wajahnya meminta kepastian.

"Itu kena tanya baba lah, sayang..." ummi memeluknya.

Tetapi Hadi menjerit, katanya adik tendang dia. Kami berdua ketawa. Selepas itu ummi dapati baba sedang memerhati kami dengan begitu serius. Ummi buat tidak peduli. Terus melayan omelan Hadi sambil fikiran ligat merangka bagaimana mahu mulakan bicara dengan bab. Sudah pastilah waktunya selepas Hadi tidur.

Ummi biarkan Hadi dengan barang-barang permainannya. Kebelakangan ini Hadi lelap di celah-celah susunan binaan dan laluan kerta-kereta mainannya. Baba mengarahkan Hadi kemas semula tetapi ummi menegah. Hadi sudah minum susu dan ke tandas.

Menyedari Hadi sudah lelap, ummi minta baba angkatkan ke bilik. Ummi segera kemaskan permainan Hadi dan bergegas ke dapur membancuh minuman. Fikiran semakin ligat memikirkan apa seterusnya. Janganlah anak di dalam kandungan ini berkerut dahinya bila lahir nanti disebabkan ummi yang banyak berfikir.

Ummi kembali ke ruang tamu yang sudah bertukar rupa menjadi pejabat baba dengan dua mug minuman. Baba sekadar mengucapkan terima kasih lalu menyambung tumpuan pada kerjanya.

"Sampai bila ya, baba?" terpacul soalan itu dari bibir ummi sambil memandang baba.

"Sampai bila, apa?" mata baba masih memandang kerja-kerjanya.

"Sampai bila baba nak hidup dengan kerja sahaja? Dah berapa lama baba tak hubungi mama, papa? Ayah tanya kehadiran diskusi mingguan baba. Apa ummi nak jawab? Naqib baba tanya khabar baba. Apa ummi nak jawab? Dan sampai bila ummi dan Hadi perlu berhadapan dengan kedinginan baba? Dan ummi tak tahu, baba sedar atau tidak, adik Hadi akan menjengah dunia tak lama lagi. Keperluannya tak satu pun disediakan."

Habis ayat terakhir, ummi habiskan minuman seraya bangun meninggalkan baba menuju ke dapur. Mudahnya baba melupakan situasi Maghrib tadi. Air mata ummi mengalir. Ummi kutip segala pinggan dan cawan yang perlu dibasuh. Ummi bawa ke sinki. Sabunkan. Tatkala mahu membilas, ummi terduduk. Ummi tidak lagi mampu membendung perasaan.

Telinga ummi menangkap bunyi derap tapak kaki baba. Lantas ummi menyeka air mata yang mengalir dan sambung kerja yang tertangguh. Kemudian ummi merempuh baba, menonong menuju bilik Hadi. Ummi kuncikan diri disitu. Terasa mahu pulang ke teratak ayah waktu itu juga.

Air mata masih laju menuruni pipi. Ummi usah kepala dan pipi Hadi. Betapa selama Huda pergi, ummi sebenarnya hidup berdua dengan Hadi. Sesekali ayah datang menjenguk. Saban minngu, ahli keluarga menelefon bertanya khabar. Tetapi baba terus-terusan menyepi. Dua tiga kali Kak Long dan Kak Ngah datang, Udanya tetap tiada.

Penat melayan perasaan, ummi keluarkan toto dan hamparkan di lantai. Ummi berbaring di atasnya, berpusing-pusing mencari keselesaaan. Bukan mudah mahu selesakan diri dengan keadaan sarat berbadan dua.

"Ummi..." ah, Hadi terjaga.

"Mari, ummi tidur sebelah Hadi," ajaknya.

Ummi tidak hampakan Hadi. Ummi naik ke atas katil. Hadi berikan bantalnya manakala dia memeluk ummi seraya terlelap. Ummi juga melelapkan mata.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home