Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Wednesday, March 23, 2011

::112::

Huda sudah tiada. Ketiadaannya menyebabkan baba tenggelam dalam dunianya sendiri. Ada seperti tiada. Entah menyalahkan diri atau sebab yang tidak ummi ketahui. Ketika Huda kritikal, baba lambat dapat informasi. Bukan kerana terlewat dihubungi, tetapi masalah jaringan komunikasi.

Ummi juga sedih dengan pemergian Huda. Namun, sebahagian perasaan keibuan ummi merelakannya. Saban waktu ummi menyaksikan penderitaan Huda. Kadang-kadang ummi terasa mahu menggantikan tempat Huda bertarung dengan penyakitnya. Apakan daya, itu semua bukan kerja manusia.

Melihat jasad kecil yang terbujur, ummi terduduk. Betapa permintaan ummi untuk melihat keringanan penderitaan puteri cilik itu Allah tunaikan dengan memanggil Huda kembali. Allah tamatkan semua penderitaan jasadnya. Penyakit jasad berakhir apabila kematian menjemput. Jasad cuma anugerah untuk ruh agar dapat beramal bagi membuktikan ikrar suatu masa dahulu. Huda sudah confirm tempatnya di syurga.

Ummi memaksa diri segera mengatasi kesedihan. Masih ada satu nyawa lagi yang menuntut perhatian. Kewujudan yang sempat meriangkan Huda. Malah girang sekali mengubah panggilan namanya menjadi kakak. Kematangan yang diperoleh hasil penempatan di hospital, begurukan doktor, jururawat dan rakan-rakan se-wad. Bahkan beria-ia memanggil janis yang belum jantinanya sebagai Hada sempena nama teman sebelah katilnya.

Adakalanya ummi hilang sabar dengan Hadi, kerana segala aktiviti mahu dilakukan dengan Huda. Walhal Hadi melihat sendiri pengebumian Huda. Dan ummi akan turut sedih bila Hadi menyedari kembarnya sudah berpindah alam. Ummi sedaya upaya cuba menggantikan posisi Huda sebagai teman sepermainan Hadi. Namun, ia sering berakhir dengan Hadi bermain sendirian. Ummi akan terlelap di sisi Hadi dan barang permainannya.

Sementara Ummi menghitung hari kehadiran ahli baru, Hadi juga menghitung hari untuk mula bersekolah. Belas melihat si kecil yang biasa berteman terpaksa bermain sendirian. Sesekali ummi gagahkan diri membawa Hadi bertemu kawan-kawannya di padang permainan. Mahu lepaskan pada anak-anak jiran, mereka juga masih kecil.

Mahu berharap pada baba? Baba belum menutup episod kesedihannya. Padahal baba sendiri mengungkapkan keredhaannya pada ketentuan Ilahi ketika kemuncak penderitaan Huda. Ummi sudah kebuntuan cara mahu mengeluarkan baba dari gua kesedihan. Apakah baba lupa membaca ma'thurat?

Ah, Hadi juga terlupa rutinnya berebut dengan Huda menghulurkan ma'thurat kepada baba setiap pagi dan petang!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home