Nota dari Pengarang


Lanjutan Catatan Ummi yang terbaru mungkin tidak selari dengan episod sebelum. Mohon maaf atas kekhilafan saya. Insya Allah saya akan menyusun semula siri ini supaya lebih tersusun. Terima Kasih.


Dari papan kekunci pengarang,
RAHMAH SAKINAH | 2:12 PM |

Wednesday, April 01, 2009

:: Mahu Tapi Terhalang ::

Banyak sketsa berbeza di hadapan saya. Situasi yang banyak orang lalui, sudah ada pilihan tetapi tidak punya wang untuk langsungkan. Ada wang, tiada pilihan. Ada pembiaya, tiada pilihan. Tiada pembiaya, terlalu banyak pilihan. Akhirnya? Tersadai sendiri memikirkan bagaimana mahu mengumpulkan duit. Kehendak fitrah dilupakan, langkah berjaga-jaga diabaikan.

Ada juga situasi tidak sepadan. Yang perempuan, terlalu baik. Suaminya tahi judi, kaki botol, kaki bola, kaki perempuan, dan segala yang berbeza. Bila lelaki baik, isterinya pula pisau cukur, main kayu tiga, juga segala yang berbeza. Yang macam pinang dibelah dua, ketika hari kejadian -- hari kenduri. Selepas itu macam langit dengan bumi. Sama cantik sama padan cerita mereka tidak popular. Sama jahat dan sama buruk adalah juga jarang-jarang.

"Kamu taknak kahwin ke?" tanya seorang ibu kepada anak yang asyik dilamun cinta. Sudah ada pilihan.

"Nak! Duit aje tak ada." jawab anaknya.

"Ish kamu ni, tak malu. Kot ye pun, coverla sikit." respon si ibu.

Tersedak saya dibuatnya. Jika saya ada jumlah duit yang diperlukan, saya terlalu ingin berikan kepadanya semua. Supaya dapat berbuat lebih dari berkata-kata. Hari ini, saat ini, doktrin mesti kumpul duit sebelum kahwin ditanam di hati anak muda. Baru kenal, kawan dulu. Kenal hati budi dulu. Subhanallah! Begitu bercanggah dengan apa yang dituntut agama.

"Yalah, bila dah kahwin, bebas nak buat apa pun. Sekarang pegang sikit-sikit boleh lah." jelasnya.

Baru lega tersedak, sambung pula dengan batuk. Oh, itukah definisi perkahwinan di minda masyarakat sekarang? Saya terkaku. Jatuh hati pun sudah bikin saya malu hingga mahu membenamkan diri ke dalam kerak bumi, mereka memandang perkahwinan begitu. Nak kata anak yatim, selalu sahaja hubungi ibu bapa. Anak tidak sah taraf pun ada walinya! Siapa? Pemerintah negeri.

Kahwin dengan perempuan adalah sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah kepada lelaki. Kahwin juga digalakkan kepada anak muda. ADA SYARAT.. jika mampu. Mampu dari semua aspek. Jika ada satu aspek kurang tetapi boleh selesai jika dibantu, mengapa tidak dihulurkan bantuan? Mempermudahkan, bukan menyusahkan.

Apa lagi yang mahu saya lontarkan? Begini, jika kerja makan gaji, setiap bulan sudah pasti dia ada jaminan pendapatan. Hanya menyediakan belanja perkahwinan besar-besaran sahaja dia tidak mampu. Sekadar mahar yang ditetapkan oleh negeri masing-masing dia masih mampu. Mengadakan kenduri juga mampu. Tetapi, hantaran yang bermacam jenis sekadar perhiasan tontonan ramai serta jadi milik mutlak isteri dia tidak mampu. Kata mahu ikut kemampuan... kalau sudah 11 dulang berbalas 13, perempuan pun tidak mampu. Belanja makan beribu orang tetapi hidup selepasnya ibarat kais pagi makan pagi buat apa?

Seorang pelajar pastilah setiap semester dibiaya. Sama ada pinjaman, biasiswa atau peruntukan ibubapa. Tolak mereka yang dibiaya ibubapa. Penerima biasiswa, perlu memohon izin. Kahwin begitu sahaja mungkin menyebabkan jaminan pembiayaan hidup sementara belajar ditarik. Pinjaman, pemberi pinjam mahu tarik? Tak mahu untung ke? Lagi lambat peminjam bayar, kan lagi banyak bunga yang akan dia dapat.. setakat ini saya tidak pernah dengar pinjaman ditarik kerana berkahwin. Lagi dia kejar suruh bayar adalah. Jadi siapa bijak mengatur kewangannya, tentu belanja hidup seorang diri dapat menampung dua orang.

Jaminan rezeki dan maut di tangan Allah. Siapa tahu dia masih dapat menikmati makan tengahari walhal waktu itu poketnya sudah kering? Satu sen pun tiada. Sedang berjalan mengira waktu, ada orang mengajaknya makan. Dibelanja. Sedang kamu tidak bersuara langsung tentang keadaan kewangan waktu itu. Itu lah rezeki manusia yang Allah tetapkan. Bila tiada makanan, Allah mahu lihat bagaimana kamu mengatasinya tetapi pada masa yang sama Allah juga sudah tetapkan di mana saluran rezeki itu. Ini jugalah perinsip ulat dalam batu pun boleh hidup.

Asyik disoal-soal bila cukup duit, tawarkanlah untuk biaya. Kan dapat pahala.. menyatukan dua jiwa dengan cara halal. Nikah, satu-satunya cara lelaki dan perempuan boleh bergaul berdua tanpa gangguan. Jika diganggu, pengganggu boleh didakwa. Syaitan pun takut dengan lafaz akad itu. Bergaduh sebaik selepas akad? Syaitan mana boleh duduk diam.. kan ikrar dia nak kacau anak cucu adam hingga kiamat? Itu kerja dia. Kita buat kerja kita. Kan suka bersikap keakuan? Dengan syaitan patut dilaksanakan.

Saya bayangkan kehidupan orang dulu-dulu. Lembu pelihara sendiri. Sekandang. Sayur pun tanam sendiri. Apa lagi? Pakaian, cukuplah sekadar pakaian baru. Jemputan... mulut ke mulut sudah memadai. Lauk pauk kenduri, masak beramai-ramai. Tetamu bawa aja apa-apa hadiah mengikut kemampuan. Yang ini berubah mengikut struktur sosial. Di kampung-kampung, sekampit gula masih memadai. Atau beberapa tin susu. Bukan setakat kerja kenduri kendara dilakukan bersama-sama. Pindah rumah juga begitu. Saya sudah lupa iklan apa, pindah rumah maksudnya angkat rumah ke tapak yang baru. Sama ada dindingnya diceraikan kemudian dipasang semula atau angkat beramai-ramai.

Hari ini wedding planner pun guna khidmat perunding.. manalah belanja kahwin tidak mencecah puluhan ribu! Lainlah jika ada penyumbang biaya perkahwinan bagi yang tidak mampu.. masyarakat masih malu mendapatkan pertolongan dalam hal ini. Masih mengejek mereka yang dinikahkan dan diraikan beramai-ramai. Jika ia dapat mengurangkan belanja, tidak salah bukan? Buat apa membazir.. kenduri kan sebagai hebahan kepada umum bahawa lelaki dan perempuan berkenaan sudah berkahwin?

Bagi yang berfikir, solusi terbaik ialah sawm. Tak perlu jalinkan hubungan tidak halal jika tidak mampu. Bukan orang lain yang sarankan. Rasulullah juga. Puas a. Teringat satu kiai berikan definisi: puas agama. Umumnya tahan lapar dahaga. Sawm lebih dari itu. Ia pemisah antara hak dan batil. Perisai dari melakukan perkara yang Allah tidak suka. Jangan tak tahu, perkara yang disukai Allah paling dibenci syaitan yang direjam.

Ada pilihan, tak ada pilihan, nikah kahwin ni tuntutan fitrah. Seperti tidak makan boleh mati, tidak kahwin pun boleh maut. Setidak-tidaknya gila. Kan banyak syair-syair lahir akibat cinta? Cinta terhalang terutamanya. Tak percaya? Cari buku ibnu qayyim berkenaan cinta. Yang saya ada itu terjemahan terbitan pustaka hidayah enterprise.

Cinta Ilahi lebih susah digapai berbanding cinta makhluk. Padanlah hadis qudsi menyebut, selangkah hambaKu mendekatiKu, akan kudekatinya seribu langkah..

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home